#HHKongsi: FamilySK, dah puasa 6 ke tu?

Assalamualaikum Family SK!

Bagaimana dengan sambutan Syawal anda? Okay ke tu? Pastinya selepas sebulan berpuasa, anda akan ‘lepas geram’ dengan makan sepuas-puasnya juadah raya yang disediakan? Betul tak? Haaaaaa bila dah makan banyak sangat tu, ini lah masanya untuk anda berpuasa sunat di bulan Syawal ini.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia dan amat digalakkan oleh Islam. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah pernah bersabda, Allah berfirman (dalam hadis Qudsi):

“Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Daku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”

Bukan setakat ingin mengawal pengambilan makanan seharian kita, puasa sunat 6 hari di bulan Syawal juga dapat menambah pahala dan meningkatkan amalan berterusan selepas bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruk-nya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendiri akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.”  (Riwayat Imam Bukhari)

Apa fadilat puasa 6 ni ye?

Ibadah puasa enam mempunyai pelbagai ganjaran dan kelebihan yang boleh diperolehi umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakannya.

“Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” (Riwayat Muslim)

“Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Puasa selepas Aidilfitri juga dilakukan sebagai tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadan.

Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW. bersabda:

“Puasa sebulan di bulan Ramadan sama seperti ia berpuasa selama 10 bulan dan berpuasa selama 6 hari selepasnya (Syawal) menyamai puasa 2 bulan. Maka yang demikian bererti (kamu) telah berpuasa untuk setahun.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)


Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada Syawal adalah:

  1. Mendidik kesabaran insan daripada godaan makanan yang melimpah ruah menerusi rumah terbuka.
  2. Memberi kesempatan kepada tubuh untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga.
  3. Allah sebenarnya ingin menguji hamba-Nya apakah sanggup meneruskan puasa selepas sebulan Ramadan walaupun hanya enam hari.
  4. Penyempurnaan daripada kekurangan. Pada hari kiamat, perbuatan fardu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunnah.
  5. Memberi peluang kepada wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, menggantikan puasanya di samping mendapat pahala puasa sunat.
  6. Mengelakkan budaya suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga hampir Ramadan berikutnya.
  7. Segera kembali melaksanakan puasa selepas Aidilfitri dengan rasa ringan dan gembira, adalah bukti kecintaannya terhadap ibadah puasa.
  8. Berpuasa selepas Ramadhan bagaikan orang yang cepat-cepat kembali daripada pelariannya, yakni orang yang baru lari daripada peperangan fisabilillah lantas kembali lagi.

Menurut pendapat ulama dalam kitab Sabila al-Muhtadin, sekiranya masa tidak mencukupi untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal kerana mengqada puasa Ramadhan, maka dia boleh mengqadanya dalam bulan Zulkaedah.

Jadi, bila nak mula puasa sunat 6 di bulan Syawal ni? Jom #FamilySK . Semoga bermanfaat buat kita semua. InsyaAllah… 🙂

Kredit kepada: Syafiqolbu

SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply