#HHKongsi: Nuzul Quran Peristiwa Penting Dalam Sirah Islam

Salam 17 Ramadan #FamilySK ! 🙂

Pada entri kali ini, HH ingin berkongsi tentang sebuah peristiwa yang amat penting dalam sirah Islam iaitu peristiwa Nuzul Quran, atau cerita bermulanya penurunan al-Quran ke atas Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril.

Ketika berlakunya peristiwa bersejarah itu, Rasulullah berada di Gua Hira’. Sejak itu, Al-Quran telah diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun (13 tahun di Mekah & 10 tahun di Madinah )sebelum lengkap sepenuhnya pada 10 Hijrah.

Al-Quran Al-Karim mempunyai 114 surah dan 6,666 ayat. Namun begitu, jumlah bilangan ayat Quran ini mempunyai pelbagai pendapat berbeza dari ahli Alim dan Ulama’.

Susunan surah Al-Quran dimulai dengan surah Al-Fatihah dan berakhir dengan surah An-Nas. Manakala surah terpanjang pula adalah Surah Al-Baqarah yang mengandungi 287 ayat dan surah terpendek adalah Surah Al-Kauthar yang mempunyai 3 ayat.

Kan tadi HH cakap Al-Quran telah diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad SAW secara berperingkat, kan? Anda nak tahu bagaimana? Okay jom HH kongsikan.

Pertamanya, Al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Kemudian, dari Baitul Izzah, Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril selama 23 tahun dan kemudian disampaikan kepada semua sahabat dan umat baginda.

Sesungguhnya terlalu ba­nyak keistimewaan dan kelebihan yang terdapat dalam kitab suci Allah ini. Ia adalah petunjuk bagi semua umat manusia daripada segala kesesatan. Al-Quran juga menjadi penyuluh daripada sebarang kegelapan.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)

Allah menjelaskan tentang keaslian Al-Quran tetap terpelihara dan kekal selamanya walaupun telah diturunkan untuk di sampaikan kepada semua hambanya sejak lebih 1,400 tahun yang lalu. Sesungguhnya Al-Quran adalah kalamullah yang tidak ada tolok bandingnya.

Kita semua pasti maklum apabila datang saja bulan Ramadan, umat Islam juga dituntut untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran selain berpuasa selama sebulan di siang hari.

Allah juga berfirman yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)

Dalam ayat ini Allah menjelaskan yang mana untuk membudayakan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan.

Tapi sayang seribu kali sayang. Budaya membaca Al-Quran itu tidak berterusan selepas Ramadan me­labuhkan tirainya. Ianya tidak dipraktikkan secara istiqamah dan hanya dibuka setahun sekali iaitu apabila tibanya Ramadan.

Mungkin kita tidak sedar bahawa Al-Quran dapat ‘menolong’ kita selepas kita meninggal dunia. Pada ketika itu, hanya amal ibadat yang dilakukan sepanjang hidup kita di dunia ini termasuk amalan membaca Al-Quran yang akan membantu kita .

Sebaiknya, jom kita jadikan contoh corak kehidup­an Rasulullah dan para sahabat. Asas kehidupan baginda dan para sahabat adalah kitab suci Al-Quran. Kalamullah itu bukan setakat dibaca, malah segala pengajaran dan pe­rintah yang terdapat di dalamnya dilaksanakan dengan penuh taat oleh mereka.

Dalam khutbah terakhir Rasulullah, baginda sempat berpesan:

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti ke­dua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.”

Renung-renungkan ya. Semoga hidup kita sentiasa dirahmati Allah. Ameen! 🙂

Kredit kepada: Utusan

SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply